Halaman

Khamis, 21 Mei 2009

Guru bukan siswazah tidak disisih

KUALA LUMPUR 20 Mei - Kementerian Pelajaran menafikan dakwaan guru-guru bukan siswazah yang berjumlah hampir 170,000 disisihkan daripada kenaikan pangkat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, golongan guru berkenaan tidak pernah dilupakan malahan beberapa tuntutan dan cadangan kesatuan untuk menambah baik perkhidmatan guru terlibat sedang dirunding dan dipertimbangkan.

Beliau seterusnya meminta kumpulan guru terlibat supaya bersabar kerana rundingan melibatkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan beberapa pihak berkaitan masih diteruskan.

"Pengumuman akan dibuat sebaik sahaja tuntutan tersebut diputuskan bersama JPA," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas surat pembaca di ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini bertajuk "Guru lepasan diploma dilupakan."

Masalah yang sama turut dibangkitkan oleh Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohd. Sabri Mohd. Arshad baru-baru ini yang mendakwa kerajaan 'tidak bersikap adil' terhadap guru bukan siswazah yang sudah lama berkhidmat di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Kesatuan itu mendakwa demikian berikutan kerajaan mengumumkan kelulusan pertambahan 2,141 kuota untuk jawatan guru dan pengetua cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) siswazah di sekolah menengah dan 1,910 jawatan Guru Cemerlang bagi PPP siswazah di sekolah rendah pada sambutan Hari Guru, Sabtu lalu.

Kesatuan itu seterusnya menyatakan tuntutan mereka belum kesampaian dan meminta kerajaan prihatin dan menyegerakan keputusan.

Sehubungan itu kata Alimuddin, kerajaan bukan sahaja membuat pengumuman seperti itu pada sambutan Hari Guru tetapi dari semasa ke semasa mengikut isu yang telah diluluskan.

Dalam pada itu katanya, bilangan guru bukan siswazah semakin berkurangan kerana perancangan kerajaan ialah selepas tahun 2010, semua guru sekolah menengah mestilah daripada lepasan siswazah sementara 50 peratus guru siswazah ditempatkan di sekolah rendah.

Walaupun sasaran itu belum tercapai jelasnya, guru bukan siswazah digalakkan melanjutkan pengajian di universiti secara sepenuh dan separuh masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan